SOALAN: Apakah boleh seseorang yang telah minum arak boleh bersholat setelah tidak mabuk. Ada seorang teman saya berkata ada seorang ustaz melarangnya sholat. Hanya selepas 40 hari sahaja. Beliau kena mandi hadas.Harap Ustaz dapat memberikan penjelasan di sini agar juga dapat difahami oleh “kebanyakkan” yang keliru dengan mitos dan fahaman yang tersasul jauh. Salam Hormat terima kasih.
– Anonymous, Singapore
JAWAPAN: Sebagai pendahuluan, nasihat kami bagi mereka –mereka yang melakukan perbuatan seperti ini supaya mereka bertaqwa kepada Allah s.w.t dan bertaubat daripadanya sebenar-benar taubat. Meminum-minuman keras adalah daripada dosa besar. Ia disifatkan sebagai ibu kepada segala kejahatan. Barangsiapa yang melakukannya, maka dia akan mendapatkan kerugian dunia dan akhirat, nauzubillah.
Adapun hadis tentang bahawa solatnya tidak akan diterima oleh Allah selama 40 hari. Sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru bin Al-Aas r.a bahawa nabi s.a.w bersabda :
لَا يَشْرَبُ الْخَمْرَ رَجُلٌ مِنْ أُمَّتِي فَيَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ صَلَاةً أَرْبَعِينَ يَوْمًا) رواه النسائي
“Allah tidak akan terima solat selama 40 hari bagi seorang lelaki dari umatku yang meminum arak.”
Hadis riwayat Annasai
Keterangan:
Bukan dimaksudkan di dalam kandungan hadis ini bahawa haram hukumnya bagi si peminum arak melakukan solat. Bahkan solat itu diwajibkan ke atasnya. Akan tetapi tidak ada pahala dalam melakukannya berdasarkan dengan zahir makna hadis. Ini adalah sebagai satu hukuman yang dikenakan ke atasnya dan pada masa yang sama, ia adalah dosa yang besar.
Imam Nawawi berkata di dalam kitabnya sharah sahih Muslim juz 14 MK 227:
“وأما عدم قبول صلاته فمعناه أنه لا ثواب له فيها، وإن كانت مجزئة في سقوط الفرض عنه، ولا يحتاج معها إلى إعادة” انتهى. “شرح مسلم” (14/227
“Adapun makna hadis bahawa solatnya tidak akan diterima oleh Allah selama 40 hari ialah tidak ada ganjaran yang diperolehi olehnya. Walaupun solatnya sah dan kefarduan dilaksanakan. Dan juga tidak diwajibkan qada baginya”.
Sebagai ringkasan, solat itu adalah wajib baginya dan dia diwajibkan juga untuk bertaubat daripada meminum arak.
Wallahu a’lam
Contributor: Ustaz Anwar Hussain
www.AskUstaz.com